Sejarah Penubuhan

Penubuhan Badan Pemantau Kebajikan Penduduk atau ringkasnya BPKP ini adalah hasil cetusan ilham En Izlan Tun yang juga merupakan pengerusi Surau Infitah Al-Khairiah merangkap Ketua Umno Cawangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2. Beliau merasakan perlunya ditubuhkan sebuah NGO yang berperanan memantau kebajikan penduduk rumah pangsa kerana kebanyakan ekonomi penduduk rumah pangsa tidak begitu tinggi. 

Sebenarnya nama asal NGO ini yang dicadangkan oleh En Izlan Tun ialah Persatuan Pemantau Kebajikan Penduduk (PPKP). Bagaimanapun atas nasihat En Tajol Ariffin Hasan seorang yang berpengalaman luas dalam beberapa buah NGO di peringkat negeri dan kebangsaan, beliau mencadangkan nama yang lebih sesuai ialah Badan Pemantau Kebajikan Penduduk. Ini menurut beliau disebabkan ada beberapa lagi NGO di kawasan kejiranan yang sama dan dengan fungsi atau peranan hampir sama, maka Badan ini kelak akan bertindak juga sebagai pemantau kepada beberapa NGO yang tersebut sama ada NGO tersebut berperanan seperti sepatutnya atau hanya mempunyai agenda berkepentingan peribadi. 

Mesyuarat penaja pertubuhan ini telah diadakan di restoran Dimalee Jalan Senawang-Kuala Pilah pada 23hb November, 2019 jam 09:00 malam. Seramai 18 orang telah hadir dalam mesyuarat penubuhan ini. Dalam mesyuarat tersebut, En Izlan Tun memaklumkan kepada semua yang hadir tujuan penubuhan persatuan kebajikan itu yang antara lain bagi memastikan kebajikan penduduk mendapat perhatian pihak-pihak berkenaan. 

Oleh kerana pengalaman menubuhkan sebuah persatuan/NGO ada pada En Tajol Ariffin, maka beliau telah diminta untuk membantu kerja-kerja pendaftaran pertubuhan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menerusi sistem e-roses. Tugasan tersebut berjaya dilaksanakan oleh En Tajol Ariffin hanya dalam masa 2 hari. Badan Pemantau Kebajikan Penduduk berjaya didaftarkan secara sah pada 25hb November, 2019 dengan no pendaftarannya ialah PPM-020-05-25102019  

Catat Ulasan

0 Ulasan